Sunday 24 February 2013

Peluang Djokovic bukti dominasi


Dubai: Kejohanan pertama Novak Djokovic sejak mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia memberinya peluang membuktikan kenapa dia mungkin kekal sebagai pemain nombor satu dunia dalam masa terdekat.


Kejayaan pemain Serbia berusia 25 tahun itu di Melbourne menyaksikannya menebus dendam kekalahan pada final Terbuka AS di tangan Andy Murray, sekali gus menjadikannya pilihan utama untuk merampas kembali kejuaraan Terbuka Dubai, bermula hari ini.


Bagi melakukannya, Djokovic mungkin perlu mengatasi pemain yang merampas kejuaraan daripadanya, Roger Federer, pemain nombor dua dunia yang memiliki kediaman di Dubai dan sering beraksi hebat serta sudah memenangi lima kejuaraan.

Sekalipun jika Federer berjaya kali keenam, sukar melihatnya merampas kedudukan pemain nombor satu berdasarkan jurang 3,000 mata di belakang Djokovic kerana dia terpaksa mengehadkan aksinya pada usia 32 tahun.


Sama ada Murray mahupun Rafael Nadal tidak bertanding di Dubai tahun ini dan bermakna permusuhan Djokovic-Federer berterusan dengan pemain veteran itu mengungguli 16-13 dalam rekod pertembungan sesama sendiri.


“Saya beraksi hebat di sini selama beberapa tahun tapi saya perlu benar-benar fokus dan yakin dengan persembahan sendiri dan harap dapat bermula dengan baik,” kata Federer, merujuk kepada kekecewaannya di Dubai lima tahun lalu.

Ketika itu, sekalipun turun sebagai juara bertahan, dia diundi bertemu Murray pada pusingan pertama dan tewas. - AFP


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts