Sunday 24 February 2013

Pengadil perlu pengalaman



Keputusan tidak semestinya sejajar dengan 17 undang-undang bola sepak: Amir Sharifuddin

Kuala Lumpur: Pengalaman antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan seorang pengadil di atas padang dan ia hanya mampu dikutip dengan mengadili seberapa banyak perlawanan.


Menurut bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tempatan, Amir Sharifuddin Wong dalam laman blognya pengadilfam.blogspot.com, pengetahuan dalam undang-undang permainan saja tidak mencukupi kerana dalam pengadilan, terdapat empat jenis keputusan yang perlu diambil kira. 

“Terdapat empat jenis keputusan di dalam sesuatu perlawanan – Statutori (berdasarkan undang-undang), interpretasi (pendapat pengadil), mustahil (telahan terbaik) dan kritikal (memerlukan keyakinan, ketepatan dan keberanian),” kata Amir yang pernah bertugas di Persatuan Bola Sepak Maldives sebagai Ketua Jabatan Pengadil. 

“Terdapat banyak situasi dalam permainan, pengadil membuat keputusan tidak semestinya sejajar dengan 17 undang-undang bola sepak. Kebolehan membuat interpretasi adalah aset utama dalam kuasa pengadil.


“Kefahaman yang mendalam terhadap peraturan tidak cukup untuk menghasilkan seorang pengadil yang baik. Undang-undang hanya sebagai komponen utama, dan ia perlu disokong oleh naluri logik, penilaian kendiri, perbincangan pasca perlawanan, ‘Spirit of the Game’ dan ‘Fair Play’.”


Pengadil muda cipta kontroversi


Catatan Amir dalam laman blognya itu menjelaskan kekalutan yang melanda kancah bola sepak negara akhir-akhir ini apabila mutu pengadilan dikatakan merosot dengan beberapa keputusan pengadil mengundang kontroversi. 


Antaranya insiden pengadil Amirul Izwan Yaacob yang menarik balik layangan kad merah kepada pemain Selangor, Shukur Jusoh ketika perlawanan pusingan pertama Piala FA bertemu Tentera di Stadium Shah Alam 25 Januari lalu disusuli mutu pengadilan Nagor Amir Noor Mohamed ketika Johor Darul Takzim menentang Lions XII Selasa lalu.


Amirul baru berusia 27 tahun dan mula mengadili perlawanan antarabangsa FIFA sejak tahun lalu, manakala Nagor, 30, mula mengutip pengalaman di peringkat antarabangsa sejak 2011.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts